Apakah terbitan bonus
Apakah Terbitan Bonus?
Terbitan bonus ialah terbitan baru saham biasa dan pemegang saham yang sedia ada tidak perlu membuat bayaran untuk mendapatkannya dan pemberiannya dikadarkan mengikut bilangan saham yang dimiliki. Misalnya, jika sesebuah syarikat mengumumkan bahawa 2:1 bonus, ini bermakna bagi setiap saham yang dimiliki, anda akan menerima dua saham baru tanpa perlu membayar apa-apa. Terbitan bonus diambil daripada simpanan syarikat dan digunakan untuk memperbesar asas modal syarikat. Ia juga digunakan sebagai satu cara untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham yang sedia ada.
Saham bonus dibayar kepada pemegang saham dengan cara yang sama seperti pembayaran dividen dan terbitan hak. Untuk layak menerima bonus/dividen/hak, anda perlulah tersenarai sebagai pemegang saham syarikat dalam buku rekod syarikat pada tarikh tutup. Tarikh lepas bonus/dividen/hak menunjukkan tarikh tamat untuk membeli saham syarikat supaya layak tersenarai sebagai pemegang saham dan dengan itu layak menerima bonus, dividen atau hak. Jika anda membeli saham pada atau selepas tarikh itu, anda tidak berhak menerima bonus, dividen atau hak.
Tempoh daripada hari pertama pengumuman hak bonus atau terbitan hak atau dividen sehingga hari sebelum lepas tarikh, lazimnya dirujuk sebagai serta-tempoh. Biasanya, serta ialah awalan yang bermaksud 'bersama'. Saham yang serta-dividen bermakna pembeli berhak menerima dividen yang telah ditetapkan pada masa itu. Ini sama juga untuk serta-bonus dan serta-hak.
# Dipetik dari web Pelabur Malaysia



