Friday Mar 12

Terbitan Bonus

Bertanya soalan, satu aspek penting dalam pelaburan, lazimnya tidak dipedulikan oleh pelabur. Soalan yang betul boleh membantu anda mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai pelaburan anda, memilih produk yang betul, dan lebih penting lagi ialah membuat keputusan yang didasarkan kepada maklumat. Broker saham atau remisier yang baik akan sentiasa melayan soalan-soalan anda supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda. Memandangkan anda hendak melaburkan wang hasil titik peluh anda sendiri, apa salahnya kalau anda bertanyakan beberapa soalan. Kadangkala, soalan yang anda anggap terlalu mudah atau “bodoh” mungkin sebenarnya merupakan soalan yang boleh memberikan anda maklumat penting.

Setelah anda memutuskan bahawa melaburkan wang dalam saham merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan anda, anda kini telah bersedia untuk mengambil langkah pertama dalam pasaran saham. Semua keperluan asas untuk anda berurus niaga telah tersedia. Anda telah membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dan dagangan, dan telah pun memilih remisier. Pada masa yang sesuai, anda bercadang untuk menghubungi remisier anda untuk membuat pesanan pembelian saham. Tetapi, sebelum anda membuat pesanan pertama, tanyakan kepada remisier anda soalan-soalan yang berikut (yang disenaraikan di sini masih kurang lengkap dan anda perlu memikirkan lagi soalan-soalan lain untuk ditanyakan):

1. Adakah anda diberikan lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti?

Panduan: Remisier berlesen boleh menunjukkan lesennya kepada anda. Selain itu, anda juga boleh menghubungi Suruhanjaya Sekuriti di nombor 603–6204 8000 (Jabatan Pelesenan) untuk mengesahkan ketulenan lesen tersebut.

2. Bagaimana pasaran saham dijalankan?

Panduan: Penting untuk anda mengetahui bagaimana pasaran saham dijalankan. Walaupun anda tidak perlu mempunyai pengetahuan sama banyak dengan broker saham anda (tetapi memang ideal jika anda mempunyai pengetahuan yang sama), amat baik jika anda mempunyai pemahaman yang jelas mengenai bagaimana pasaran itu dijalankan. Peraturan pasaran saham, peranan broker saham anda dan apa yang dilakukan oleh Bursa Malaysia merupakan sebahagian daripada pengetahuan asas yang anda perlu ada.

3. Apakah bayaran dan caj bagi pelaburan tersebut?

Panduan: Setiap pelaburan mempunyai kos. Jika anda membeli saham, anda perlu bertanya kepada remisier anda, berapa banyak bayaran atau komisen yang perlu dibayar untuk membeli saham tersebut.

4. Tolong jelaskan bagaimana hendak berurus niaga dalam saham?

Panduan: Pelajari, antara lain, bagaimana untuk membeli dan menjual saham, bagaimana T+3 dilaksanakan, apakah borang yang perlu diisi dan bilakah tarikh anda mesti membuat bayaran atas pembelian saham tersebut. Ini boleh mengelakkan anda daripada menjadi keliru dan terpaksa membuat bayaran yang tidak perlu atau menanggung kerugian.


5. Apakah risiko melabur dalam pasaran saham? Apakah jumlah maksimum kerugian yang mungkin saya tanggung?

Panduan: Pelabur perlu menyedari bahawa harga saham di pasaran saham boleh turun naik . (harga saham boleh turun naik tanpa banyak petanda). Inilah risiko melabur dalam pasaran saham. Soalan ini memastikan anda faham tentang risiko dan tahu apa yang perlu dilakukan jika menghadapinya.

6. Adakah saya akan menerima penyata atau laporan berkaitan dengan status pelaburan saya? Jika ya, berapa kerap?

Panduan: Penyata pelaburan penting kerana ia memudahkan proses pemantauan terhadap pelaburan anda. Contoh penyata pelaburan: penyata akaun CDS, penyata akaun urus niaga, nota kontrak dan sebarang penyata lain yang berkaitan. Sentiasa baca penyata pelaburan yang dihantar kepada anda dan jika anda dapati terdapat sebarang kenyataan tidak tepat, jangan tunggu, hubungi broker saham anda untuk membuat pembetulan serta-merta. Jangan buang penyata itu selepas membacanya. Failkan.

7. Adakan saham itu mempunyai tarikh luput?

Panduan: Sekuriti seperti waran, stok pinjaman dan waran panggilan, mempunyai tarikh luput. Sebelum melabur dalam saham seperti ini, tanyakan mengenai tarikh luputnya kepada remisier anda, atau anda boleh menyemaknya di ruangan jadual saham dalam akhbar harian tempatan.

8. Bagaimana saya hendak menyemak pegangan saham terkini saya?

Panduan: Anda boleh menyemak pegangan saham terkini anda dengan remisier atau hubungi Bursa Malaysia Central Depository Sdn Bhd di nombor 603–2026 2099. Amat penting anda menyemak baki sekuriti anda secara kerap. Anda tentu tidak mahu menjual saham yang bukan milik anda secara tidak sengaja kerana ini merupakan kesalahan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

9. Adakah cara untuk saya mengemukakan aduan?

Panduan: Sentiasa cari cara yang membolehkan anda menyuarakan rungutan atau mengemukakan aduan. Hak anda sebagai pelabur dilindungi di bawah undang-undang dan anda mesti melaksanakannya. Tanyakan remisier anda mengenainya.

10. Apakan pembiayaan margin? Apakah risiko melabur menggunakan wang pinjaman?

Panduan: Pembiayaan margin bermakna anda membeli saham menggunakan wang pinjaman. Melabur dalam pasaran saham menggunakan pembiayaan margin tidak sesuai untuk semua orang kerana cara ini amat tinggi risikonya. Sebelum menggunakan pembiayaan margin untuk membuat pelaburan, minta remisier anda menerangkan tentang kos pembiayaan dan risiko terbabit, serta berapa banyak kerugian yang anda terpaksa tanggung sekiranya pasaran jatuh. Pembiayaan margin merupakan sumber hasil utama bagi syarikat broker saham dan lazimnya akan ditawarkan kepada anda. Pastikan anda benar-benar sedar mengenai risikonya sebelum menerima tawaran tersebut.

   

Remisier anda bertanggungjawab memastikan supaya dia mencadangkan produk pelaburan yang bersesuaian dengan anda. Di bawah peraturan yang dikenali sebagai “kenali pelanggan anda”, mereka dikehendaki membuat penilaian dan menentukan apakah pelaburan yang terbaik untuk anda. Dengan bertanyakan soalan, anda juga memberikan peluang kepada mereka untuk lebih mengenali anda dan membolehkan mereka mencadangkan produk yang bersesuaian dengan anda.

Pada masa yang sama, soalan-soalan ini membolehkan anda menilai tahap pengetahuan remisier anda dan melihat sama ada dia boleh memberikan perkhidmatan tambah nilai melebihi hanya setakat menerima arahan.